KUALA LUMPUR – Pemain Sepanyol kini dikaitkan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila Harimau Selatan itu dilaporkan akan merekrut bekas penjaga gol Real Madrid iaitu Diego Altube.

Desas-desus mula meniti di bibir para penyokong apabila pemerhati sukan tanah air, Juan Budiman turut berkongsi pemain yang bakal menyertai JDT itu ialah seorang penjaga gol berdarah warisan negara ini.

Memetik hantaran dari laman pencari bakat, Frfuturetalent, Altube dikatakan mempunyai darah Malaysia dari ibunya dan pemain berusia 24 tahun itu juga difahamkan sudah menyelesaikan proses mendapatkan kerakyatan tanah air.

Selain usianya yang muda akan menjanjikan pelaburan jangka masa panjang buat JDT, Altube mempunyai pengalaman menimba ilmu bersama pasukan gergasi Sepanyol iaitu Real Madrid ketika zaman remajanya.

Namun difahamkan dia tidak pernah mewakili skuad kebangsaan Sepanyol yang memiliki barisan ramai penjaga gol terkemuka dunia.

Sebelum ini, media turut melaporkan bekas bintang Atletico Madrid iaitu Hector Hernandez dikhabarkan akan menyertai juara bertahan Liga Super itu selepas kontraknya bersama GD Chaves akan tamat pada 1 Julai 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast