Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita kerugian RM400 setelah cermin belakang kenderaannya dihentak hingga pecah oleh seorang penunggang motosikal yang mengekorinya di persimpangan Jalan Jengka SS17, dekat Subang Jaya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, semasa kejadian wanita berusia 42 tahun yang bekerja sebagai jurubahasa itu bersama suaminya dalam perjalanan dari SS14.

Setibanya mereka di lokasi kejadian, mereka terdengar bunyi hentakkan kuat di bahagian belakang kereta Perodua Myvinya.

“Pengadu dan suami tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak dan pengadu juga tidak mengenali suspek yang mengekori selepas dilihat melalui dash cam yang dipasang di bahagian kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mazlan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan  dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan berpandukan kamera dalam kenderaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ahmad Faizal Shaikh Abd Rahim di talian 019–7506606 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast