Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan (MOT) Wee Ka Siong menyindir Lim Guan Eng dan adiknya, Lim Hui Ying berkaitan feri ikonik Pulau Pinang berusia lebih 100 tahun.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, kedua-dua beradik tersebut telah membalunnya ketika beliau membuat keputusan menamatkan perkhidmatan feri ikonik tersebut untuk digantikan dengan feri baharu.

“DAP cakap tak serupa bikin! Dulu Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying, adik-beradik dari keluarga Lim Kit Siang asyik membalun saya semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan.

“Pada ketika itu, MOT mengambil keputusan menggantikan feri lama berusia selama 146 tahun dengan feri penumpang yang berhawa dingin dan jauh lebih laju berbanding feri lama tersebut.

“Amboi! Bukan main lagi ayat-ayat yang digunakan sampai saya dituduh mengkhianati rakyat Pulau Pinang!” sindir beliau dalam perkongsian di media sosial.

Ka Siong turut menyindir pengumuman Guan Eng sebelum ini, yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memulihkan perkhidmatan feri lama.

Bagaimanapun berita mengenai salah sebuah feri ikonik tersebut yang tengelam beberapa hari lalu seolah-olah memberi gambaran sebaliknya.

“Adik-beradik Lim ini beriya-iya sangat nak feri lama Pulau Pinang tersebut dikembalikan semula. Sekarang siapa yang menghalangnya? Wee Ka Siong lagi ke?

“Eh,eh,eh…..kejap! Menurut laporan media Oriental Daily bertarikh 24 Disember 2022, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah bersetuju untuk memulihkan perkhidmatan feri lama yang dianggap ikonik oleh Guan Eng.

“Apa sudah jadi? Lim Guan Eng cakap tak serupa bikin! Semalam, feri ikonik ini dilaporkan tenggelam. Maksudnya apa?” soal beliau.

Sebuah feri ikonik dilaporkan tenggelam di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth pada awal pagi Rabu.

Feri Pulau Kapas disedari senget dan tenggelam hampir keseluruhan pada jam 3 pagi.

Pada Februari 2023, Guan Eng yang merupakan Ahli Parlimen Bagan menggesa kerajaan pimpinan Anwar membenarkan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang melebihi 100 tahun kembali beroperasi semula.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, perkhidmatan feri berkenaan merupakan ikon budaya dan sejarah Pulau Pinang yang menjadi tarikan pelancongan popular.

Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang beroperasi lebih 126 tahun dilapor ditamatkan pada 2020 serta perkhidmatan feri sedia ada hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal manakala bot laju untuk membawa penumpang individu.-MalaysiaGazette