Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

MERSING – Peraturan sistem pemilihan UMNO melibatkan jawatan tertinggi hanya akan dilakukan jika terdapat keperluan atau sudah sampai masanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti bersifat terbuka dan sedia meneliti sebarang cadangan yang bertujuan mengubah peraturan sistem pemilihan tersebut.

“Sebagaimana yang kita ketahui pemilihan UMNO ini hanya akan dibuat pada tahun 2026. Jadi ada tempoh dua tahun daripada sekarang untuk membina peraturan sedia ada dan ianya perlu dibawa ke perhimpunan agung khas kalau ianya melibatkan pemindahan Perlembagaan.

“Kalau sekadar melibatkan peraturan ianya akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.

“Walau bagaimana pun kita jangan fikirkan tentang soal pemilihan parti kerana ianya akan dibuat perubahan pada tahun ini atau tahun hadapan.

“Maka saya harap agar semua kepimpinan parti di peringkat nasional, negeri dan pelbagai peringkat agar kita tumpukan kepada kerja-kerja memperkuatkan parti,” katanya dalam sidang akhbar merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Mersing di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal iaitu cadangan supaya UMNO kembali kepada sistem lama pemilihan parti melibatkan jawatan tertinggi di peringkat Pusat.

Menurut sumber kepada portal berkenaan, cadangan itu adalah selepas lebih sedekad UMNO beralih kepada sistem yang memberikan lebih ramai ahli parti di seluruh negara untuk memilih kepimpinan tertinggi.

Cadangan itu merupakan antara usul yang hangat dibincangkan dalam mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung bermula 20 Ogos ini.

Usul itu dijangka dibahaskan pada perhimpunan kali ini dan akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi. – MalaysiaGazette