BUTTERWORTH – Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu selepas didapati tidak pulang ke rumahnya di Bagan Ajam di sini, ditemui selamat semalam.

Abang tirinya, Mohammad Nurul Asrul Norulfadli, 23, berkata, Siti Nur Khaireena Zufairi ditemui kira-kira jam 9 pagi semalam di Kulim, Kedah.

“Saya terima panggilan daripada kenalan kepada adik saya (Siti Nur Khaireena) yang yang memaklumkan menemui dia di sebuah rumah.

“Susulan itu, rakan tersebut kongsikan lokasi keberadaan adik saya itu sebelum kami pergi membawanya pulang.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga syukur adik ditemui dalam keadaan baik dan selamat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai Siti Nur Khaireena sebelum ini dilaporkan berada di Kelantan, Mohammad Nurul Asrul berkata, adiknya dikatakan ke Kelantan dengan rakan sebelum pulang ke Kulim dengan kenalan berlainan.

ARTIKEL BERKAITAN

Nurul Asrul minta bantuan orang ramai cari adik perempuan hilang

MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan, seorang lelaki meminta bantuan orang ramai mencari adik tirinya berusia 17 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumah di Bagan Ajam di sini, sejak semalam.

Mohammad Nurul Asrul Norulfadli, 23, berkata, Siti Nur Khaireena Zufairi dikatakan keluar dari rumah dengan kenalan lelaki yang tidak dikenali keluarga pada jam 5 petang. – MalaysiaGazette