Dalam konteks dunia moden, maklumat ini boleh tersebar dalam sekelip mata melalui media sosial,

Oleh: Prof Madya Dr Sueraya Che Haron

PEMBELAJARAN bahasa yang efektif memerlukan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa yang padu untuk membuahkan hasil yang diingini. Kemahiran berbahasa yang dimaksudkan ialah kemahiran membaca, menulis, mendengar, dan juga bertutur. Namun di antara keempat-empat kemahiran ini, yang mana satukah sepatutnya didahulukan? Menurut Ibn Khaldun, objektif akhir sesuatu pembelajaran bahasa ialah kebolehan berkomunikasi secara lisan dalam bahasa tersebut dengan baik. Beliau mendefinisikan bahasa sebagai suatu alat untuk meluahkan perasaan, pendapat, kehendak, serta keperluan seseorang secara lisan.

Kebolehan bertutur mengikut standard Ibn Khaldun dinamakan “malakah” iaitu kebolehan bertutur yang kedengaran seperti penutur asal dari segi sebutan, struktur ayat, pemilihan kosa kata yang tepat, dan gaya bahasa yang sesuai dengan konteksnya. Keupayaan berbahasa begini hanya akan dimiliki apabila ia telah sebati dengan diri penuturnya, dan memerlukan pendedahan dan latihan yang banyak, kerap, serta berterusan.

Bagi mendapatkan tahap penguasaan sedemikian, Ibn Khaldun mencadangkan agar kemahiran mendengar yang didahulukan dan dititikberatkan. Sebagai contoh, pelajar-pelajar bahasa Arab perlu mendengar penutur asal bertutur dalam Bahasa Arab yang baik, sebanyak yang mungkin. Ini supaya mereka boleh memerhati dan belajar bagaimana penutur asal menyebut setiap huruf, menyusun kosa kata dalam sesuatu ayat, meluahkan perasaan, pendapat, kehendak, serta apa jua keperluan dengan gaya bahasa dan konteks yang betul. Seterusnya diikuti dengan proses pengulangan dan penghafalan, dan menggunakannya secara kerap dan berterusan.

Ringkasnya, untuk sampai kepada satu tahap penguasaan bahasa yang baik, proses pembelajaran bahasa perlu melalui tiga peringkat, iaitu menerimanya dengan cara mendengar, menyimpan bahasa dengan cara menghafal, dan akhirnya menggunakan bahasa yang dipelajari dengan latihan berbahasa. Paling mustahak, setiap peringkat itu perlu dilakukan dengan kerap dan berterusan. Jika mempelajari bahasa Arab contohnya, bahasa yang didengar perlulah dari sumber-sumber bahasa Arab yang tulen dan asli, merangkumi ayat-ayat al-Quran, hadis, syair, prosa, dan pelbagai bentuk sastera Arab. Kandungannya harus bersifat standard, tepat dari segi tatabahasanya, dan tidak dicemari oleh penggunaan bahasa lain secara rojak. Ini untuk memastikan bahasa yang diperoleh terpelihara dengan standard linguistik yang diingini.

Persoalannya, apakah teori pembelajaran bahasa Ibn Khaldun ini masih boleh dilaksanakan dalam era digitalisasi ini? Pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek pada 28 November 2023, seharusnya membuka ruang yang lebih luas untuk mempraktikkan saranan-saranan Ibn Khaldun seterusnya memperkasakan pembelajaran bahasa, terutamanya bahasa ketiga seperti bahasa Arab, di Malaysia. Ini kerana DPD secara ringkasnya bertujuan melahirkan murid fasih digital, serta memiliki nilai dan etika penggunaaan teknologi maklumat dan komunikasi yang baik sebagai persediaan mendepani cabaran masa depan.

Saya pasti pendidikan digital akan menyokong pemerkasaan pendidikan bahasa, khususnya melalui pelaksanaan saranan-saranan Ibn Khaldun dengan lebih menyeluruh. Dengan pengintegrasian digital dalam ekosistem pendidikan, pelajar mempunyai lebih ruang dan peluang untuk belajar bahasa ketiga, seperti bahasa Arab, sehingga di luar waktu kelas. Jadi kekerapan pelajar bersua dengan bahasa yang ingin dipelajari boleh dipertingkatkan, sebagaimana yang disarankan oleh teori Ibn Khaldun.

Sekali lagi mengambil contoh pembelajaran bahasa Arab, kemahiran mendengar dalam bahasa yang standard sebenarnya boleh diperolehi melalui penggunaan platform media sosial yang pelbagai seperti YouTube, Telegram, TikTok, Facebook, Instagram, dan lain-lain. Ini kerana perkongsian bahasa Arab dalam bentuk video dan audio seperti drama, kartun, filem, kuliah, lagu, dan sebagainya boleh dicapai dengan mudah di platform sebegini. Selain itu, terdapat juga laman sesawang khusus untuk kita berkomunikasi dengan penutur asli, bagi merasai pengalaman mempelajari bahasa Arab secara langsung.

Dengan cara ini pelajar bukan sahaja boleh belajar kaedah penutur asli bertutur dengan bahasa dan konteks yang betul, malah boleh menggunakan bahasa Arab untuk berinteraksi secara efektif, seperti yang disarankan oleh Ibn Khaldun. Penggunaan media sosial sebegini sangatlah penting untuk mencipta suasana bahasa baharu yang dipelajari, terutamanya apabila suasana bahasa tersebut susah untuk didapati di persekitaran mereka. Namun peranan guru juga amat diharapkan untuk sentiasa membimbing pelajar dalam usaha mendapatkan bahan media yang terbaik, bersih dan sesuai untuk tujuan mendengar dan mempelajari bahasa.

Ini adalah kerana guru boleh mengenalpasti dan menyaring terlebih dahulu bahan audio dan video yang sesuai untuk digunakan oleh para pelajar. Saya pasti DPD akan menggalakkan pendekatan kreatif dalam pembelajaran bahasa yang pastinya akan menarik minat pelajar mempelajari bahasa asing, terutamanya Bahasa Arab. Dua asas utama pendekatan Ibn Khaldun, iaitu pendedahan yang kerap dan berterusan kepada bahasa, serta kemahiran mendengar bahasa standard yang bersesuaian dengan konteksnya akan dapat dicapai dengan pelaksanaan DPD.

Penulis merupakan Pensyarah di Jabatan Bahasa dan Literasi, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast