Norliza Abdul Rahim,(tiga dari kanan), Lim Siew Khim, (empat dari kanan) dan Ahmad Dasuki Abdul Majid, (tiga dari kiri), Ketua bergambar selepas sesi sidang media Majlis Pelancaran Program Anak Emas bertempat di Komtar, Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Majlis Pelancaran Program Anak Emas yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini, 3 Ogos 2024 bertempat di Mydin Bukit
Mertajam, Pulau Pinang.

PTPTN berkata, Program Anak Emas ini telah diperkenalkan pada Jun 2011 iaitu bayaran bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur 2 tahun ke bawah, dengan syarat salah seorang ibu atau bapa kepada bayi mestilah berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang.

Namun, menariknya pada tahun ini, Program Anak Emas yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu telah ditambah baik melalui kerjasama yang julung kalinya diadakan bersama PTPTN.

Insentif ini merupakan tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada masyarakat Pulau Pinang dalam memperkasakan pendidikan tinggi anak-anak Pulau Pinang.

Melalui kerjasama ini, berkuatkuasa pada 15 Januari 2024, sebanyak RM100 akan diberikan untuk pembukaan akaun/penambahan deposit Simpan SSPN Prime dan RM100 disalurkan ke akaun bank pemohon yang layak.

Simpan SSPN Prime merupakan produk simpanan yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatanke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Majlis Pelancaran Program Anak Emas ini akan disempurnakan oleh Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Khim dan dihadiri oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Selain itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Pengurusan PTPTN, rakan strategik turut hadir dan dimeriahkan dengan kehadiran, ibu bapa, guru-guru bersama murid sekolah dan kanak-kanak tadika serta orang ramai.

Program yang akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga pukul 6 petang ini akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik untuk para pengunjung yang hadir.

Antara aktiviti yang akan dianjurkan ialah Pertandingan Mewarna Simpan SSPN Kategori Tadika dan Sekolah Rendah, Pertandingan Bayi Merangkak Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam, Penampilan Badut, Persembahan Boria, Persembahan Kanak-kanak Tadika dan Persembahan Silap Mata yang pastinya akan cukup meriah.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada agensi awam dan swasta yang akan membuka kaunter perkhidmatan dan pameran untuk pengunjung yang hadir antaranya Kaunter Promosi Simpan SSPN, Kaunter Saringan Kesihatan Percuma, Kaunter Semakan Akaun dan Khidmat Nasihat KWSP, Mini Petting Zoo, Pameran Robotik dan AI oleh Tech Dome Penang, Pameran Pergigian & Pameran Interaktif dan minuman Sunquick percuma untuk 2,000 orang yang terawal.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk hadir bersama keluarga ke Majlis Pelancaran Program Anak Emas bagi memeriahkan lagi program ini.

PTPTN berkata, ibu bapa yang layak memohon Program Anak Emas boleh membuat pendaftaran di kaunter promosi PTPTN.

Oleh itu, orang ramai diminta rebut peluang ini untuk hadir dan dapatkan maklumat lanjut mengenai program selain dapat menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

Orang ramai yang membuka akaun atau membuat penambahan deposit Simpan SSPN pada program tersebut turut berpeluang
mendapat hadiah istimewa daripada PTPTN.

Untuk maklumat dan keterangan lanjut mengenai program serta aktiviti yang akan berlangsung boleh layari media sosial facebook Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang melalui pautan https://www.facebook.com/PTPTNPulauPinang atau hubungi Pejabat
PTPTN Negeri Pulau Pinang di talian 04-383 1410. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast