FAKTOR usia tidak menghalang seorang warga emas, Guranah Ipat, 75, mengikuti kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berkaitan bidang pertanian yang dianjurkan di Kolej Komuniti Tambunan Sabah (KKTBS), baru-baru ini.
Meskipun sudah menjangkau umur 75 tahun, Guranah yang merupakan penduduk tempatan berasal dari Kampung Kuala Namadan Tambunan itu tidak mahu melepaskan peluang menyertai kursus PSH anjuran bersama Koperasi Wawasan Rakyat Sabah Berhad (KOWR) dan Unit PSH KKTBS.
Penyertaan Guranah itu didorong oleh minatnya yang mendalam dalam bidang tanaman jagung bijirin dan kacang soya selain bertujuan mendapatkan pendedahan lanjut mengenai bidang pertanian.
Sepanjang enam hari menyertai kursus PSH itu bermula 22 Julai hingga 27 Julai lalu, Guranah bersama 30 peserta yang lain didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang terbabit antaranya berkenaan kaedah penanaman; penjagaan dan penuaian jagung bijirin.
Selain itu, mereka turut dibimbing dari aspek motivasi dan keusahawanan digital serta asas pengurusan kewangan.
Guranah adalah antara kisah kejayaan yang dicatatkan PSH dalam menyediakan platform kepada penduduk negara ini tanpa mengira usia dan latar belakang untuk meningkatkan kualiti hidup.
Pada tahun ini sehingga Jun lalu, sebanyak 6,715 kursus PSH telah dianjurkan oleh 105 Kolej Komuniti dengan menarik minat seramai 133,824 penyertaan dari masyarakat setempat.
Daripada jumlah tersebut, seramai 3,831 penyertaan adalah dalam kalangan warga emas.
Selain Guranah, PSH turut melakar banyak kisah kejayaan lain para pesertanya seperti memiliki perniagaan atau perkhidmatan sendiri dalam pelbagai bidang yang ditawarkan di Kolej Komuniti.
Selain itu, terdapat para peserta PSH juga berjaya memperluaskan perniagaan secara atas talian sekali gus membantu meningkatkan jualan dan mempromosi produk atau perkhidmatan mereka.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) KPT, Wan Marina Wan Mohd Nowalid, berkata, PSH yang merupakan inisiatif di bawah JPPKK, KPT adalah satu usaha penting untuk memastikan setiap individu di negara ini berpeluang untuk terus belajar dan berkembang sepanjang hayat mereka.
Jelas beliau, ia bukan sahaja membantu dalam peningkatan kemahiran dan pengetahuan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan TVET di bawah JPPKK, Kolej Komuniti juga memainkan peranan yang signifikan dalam PSH dengan menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan latihan kepada individu di semua peringkat umur dan latar belakang,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengekalkan peranan kolej komuniti sebagai hub PSH, program PSH yang ditawarkan kepada komuniti setempat akan diperkukuhkan dengan pelbagai pendekatan pembelajaran.
Jelasnya, ia tidak hanya dilakukan secara fizikal, malah turut dijalankan secara dalam talian yang boleh merentas penyertaan komuniti antara satu institusi dengan institusi lain bagi memenuhi keperluan komuniti. – MalaysiaGazette