Solihan Badri

JOHOR BAHRU – Pendirian Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa sumbangan dana syarikat arak kepada sekolah vernakular tidak ada yang salah malah diamalkan kerajaan terdahulu dilihat melanggar prinsip Kerajaan Madani.

Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri berkata, kenyataan Mohamed Khaled itu juga umpama perbuatan ‘menepuk air dalam dulang terpercik muka sendiri’.

Katanya, apabila Mohamed Khaled menyatakan tiada yang tidak kena apabila sekolah vernakular menerima sumbangan dana syarikat arak dan judi, maka pendirian itu membuktikan Kerajaan Madani tidak komited memperbaiki dasar pentadbirannya sekali gus menyimpang daripada prinsip Madani.

“Beliau pernah berada dalam kerajaan PN serta Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Jadi, apabila menyedari ada kesilapan yang dilakukan kerajaan terdahulu, beliau sepatutnya bertegas membuat perubahan supaya amalan tersebut tidak berulang atau diteruskan kerajaan campuran sekarang.

“Mohamed Khaled orang lama politik dan pernah berada dalam PN dan BN. Jadi beliau tidak boleh kata, kalau kerajaan PN dan BN dahulu boleh buat kenapa PH sekarang tidak boleh buat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin Mohamed Khaled menegaskan tiada yang tidak kena dengan tindakan sekolah vernakular menerima dana sumbangan syarikat minuman keras dan judi.

Ini kerana katanya, amalan itu sudah dilaksanakan kerajaan terdahulu dan wang kerajaan yang diperoleh daripada hasil aktiviti perjudian serta arak tidak akan disumbangkan kepada masjid, sebaliknya disumbangkan kepada tokong dan sekolah vernakular.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berkata, sekiranya PH benar-benar kerajaan yang bertanggungjawab dan menjunjung prinsip Madani, mereka mesti menghentikan amalan tersebut.

“Kalau PH merasakan pendirian PN dan BN berkaitan penajaan tersebut suatu kesilapan, inilah masanya untuk PH perbetulkan dan bukan meneruskan kesilapan yang sama.

“Dalam hal seperti, kita perlu berubah dan berhijrah daripada suatu perkara yang tidak baik kepada perkara yang lebih baik. Kalau dulu PN dan BN buat silap, PH perbaiki kesilapan itu,” ujarnya.

Justeru katanya, PN Johor mencabar Mohamed Khaled mengusulkan kepada Kabinet ditunjangi kerajaan PH supaya mematuhi larangan sumbangan dana syarikat rokok, arak dan judi kepada mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah vernakular seperti arahan Surat Pekeliling KPM pada 29 Mac 2018.- MalaysiaGazette