WASHINGTON – Sebuah penerbangan United Airlines dilencongkan selepas alami biohazard di atas kapal menyebabkan anak kapal muntah-muntah dan penumpang meminta topeng, menurut laporan.
Biohazard ialah bahaya biologi, juga dikenali sebagai bahaya bio, merujuk kepada bahan biologi yang menimbulkan ancaman kepada kesihatan organisma hidup, terutamanya manusia.
Kejadian itu berlaku ketika pesawat 2477 itu dalam penerbangan ke Boston dari Lapangan Terbang Antara Benua George Bush di Houston pada pagi Ahad.
Bagaimanapun, ia terpaksa mendarat awal di Washington supaya pesawat itu boleh menjalani “pembersihan” selepas seorang penumpang jatuh sakit, lapor New York Post.
Keadaan menjadi sangat serius sehingga kedua-dua anak kapal dan penumpang mula berasa tidak sihat, menyebabkan juruterbang meminta lencongan.
Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Washington Dulles, dan tiada seorang pun daripada 155 penumpang atau enam anak kapal memerlukan bantuan perubatan, kata laporan itu. – Agensi