Daging babi sejuk dalam kotak yang dirampas hasil serbuan di sebuah jeti haram di Telok Kabong, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Kegiatan dua lelaki yang menjadikan sebuah jeti haram di Telok Kabong di sini sebagai port menyeludup terbongkar selepas satu serbuan dilakukan hari ini dan 197 kotak daging babi sejuk beku dirampas.

Serbuan hasil risikan dan maklumat awam itu dilakukan sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengerang pada pukul 6.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, hasil serbuan itu dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 55 tahun ditahan.

“Kedua-duanya ditahan kerana memiliki 197 kotak berisi daging babi sejuk beku tidak bercukai yang dibawa masuk dari luar negara.

“Polis turut merampas bot fiber biru, enjin bot dan lori. Nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM337,750,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Pihaknya, kata beliau, akan terus membanteras kegiatan penyeludupan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terlibat agar menghentikan kegiatan itu kerana boleh menyebabkan kerugian kepada negara.

“Anggota masyarakat diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan agar keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette