Mohammad Faiz Azmi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan permulaan kohort kedua Program Mentor Syariah, dalam meningkatkan usahanya untuk membina pasaran modal Islam (ICM) yang inovatif dan berdaya saing.

Lebih 250 permohonan diterima ketika permohonan kohort kedua dibuka pada bulan Mac tahun ini, dengan jumlah 15 peserta dipilih, menjadikan jumlah kumulatif peserta dalam program ini kepada sebanyak 30 individu sejak dimulakan.

Dilancarkan pada bulan Oktober 2023, program ini merupakan inisiatif bimbingan unik dalam membangunkan profesional Syariah yang mahir untuk ICM.

Ia dijalankan melalui perkongsian strategik dengan ISRA Consulting, sebuah anak syarikat Universiti INCEIF.

Kohort pertama program yang terdiri daripada 15 peserta telah berjaya menamatkan program sebagai graduan hari ini, dengan pengalaman pembelajaran intensif dalam kelas selama dua bulan, diikuti dengan latihan amali selama enam bulan di organisasi terpilih yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Lebih 50% daripada graduan ini telah memperoleh pekerjaan tetap dengan organisasi yang terlibat.

Program ini merupakan salah satu inisiatif SC di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) bertujuan untuk meningkatkan keluasan dan kedalaman ICM melalui
pembangunan bakat dan pembinaan kapasiti.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, terdapat keperluan mendesak untuk lebih ramai profesional yang mahir dalam kedua-dua prinsip Syariah dan pengetahuan ICM demi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

“Dengan perkembangan pesat ICM, terdapat keperluan mendesak untuk lebih ramai profesional yang mahir dalam kedua-dua prinsip Syariah serta dinamik pasaran bagi memastikan pertumbuhan yang berterusan,” katanya pada majlis graduasi yang diadakan di Universiti INCEIF.

Kohort kedua juga kini akan mendapat manfaat daripada kurikulum yang diperbaharui berdasarkan maklum balas daripada kohort pertama. Penambahbaikan utama termasuk format hibrid untuk menampung keperluan peserta yang bekerja, dan modul kelas yang berlanjutan dari dua hingga tiga bulan untuk pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.

Langkah ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkesan yang menyepadukan aplikasi dunia sebenar dan aspek teknikal ICM. – MalaysiaGazette