Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Tuduhan bekas Pengerusi Bersih, S Ambiga bahawa Kerajaan Perpaduan paling diktator ketika ini disifatkan sebagai keterlalulan dan tidak adil.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menyalah guna kuasa, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara termasuk di Parlimen.

Beliau mempersoalkan tuduhan bekas Presiden Majlis Peguam tersebut sedangkan Anwar tidak pernah bersikap diktator contohnya menggantung Parlimen dengan mengisytiharkan darurat seperti dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Bagaimana kerajaan pimpinan Anwar ini diktator sedangkan di Parlimen laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan laporan Ketua Audit Negara dan laporan Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC) dibahaskan secara terbuka di Parlimen?

“Bagaimana kerajaan Persekutuan sekarang jadi diktator sedangkan tiga minggu lalu pada 6 Julai calon yang mewakili parti kerajaan Persekutuan kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Ambiga menegur kerajaan berhubung langkah terbaharunya untuk mengenakan undang-undang pelesenan baru bagi pengendali media sosial.

Mengulas dalam X, Ambiga berkata, dia tidak pernah membayangkan bahawa sebuah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan kembali pada janji pilihan raya mengenai pembaharuan undang-undang, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

“Saya tidak pernah terfikir akan melihat hari apabila kerajaan pimpinan PH yang hidup di atas platform memperjuangkan pemansuhan PPPA sebaliknya akan mengekalkannya dan mengenakan undang-undang pelesenan baru.

“Kerajaan Perpaduan kini kami boleh dinobatkan sebagai kerajaan paling diktator yang pernah kita ada. Syabas!” kata Ambiga.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada pengumuman kerajaan bahawa semua media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini mesti memohon lesen.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, sekiranya bersifat diktator Kerajaan Perpaduan tidak akan membenarkan calon partinya kalah teruk dalam PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang dan sebelum itu kalah dalan PRK Kemaman, Terengganu.

Jelasnya, cadangan kerajaan untuk mengenakan syarat bahawa syarikat-syarikat platform media sosial dari luar negara perlu ambil lesen mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh dibantah, dipertikai dan disanggah.

“Tetapi menuduh kerajaan Persekutuan terus jadi diktator kerana cadangan itu adalah berlebihan dan tidak adil,” ujar veteran Parti Keadilan Rakyat)PKR) itu.

Hassan menasihatkan Ambiga supaya berpada-pada dalam membuat dakwaan namun bukan bermaksud kerajaan yang ada hari ini tidak boleh dikritik.

“Tegur dan kritiklah akan segala kelemahan kerajaan Persekutuan ini. Tetapi menuduh diktator itu terlalu berlebihan.

“Saya ahli Parlimen dipilih rakyat yang menyokong kerajaan Persekutuan sekarang sedar kerajaan ini ada kelemahannya di sana sini amat yakin bahawa kerajaan ini bukan kerajaan diktator,” ujar veteran PKR itu.- MalaysiaGazette