KUALA LUMPUR – Seorang peguam jenayah tersohor, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menyatakan kesediannya untuk membantu keluarga bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Nashriq Othman yang didakwa meninggal dunia kerana dibuli secara pro bono.
Peguam itu berkata, beliau akan berkunjung ke kediaman keluarga Allahyarham dalam masa terdekat dan bersedia meneliti semula kes berkenaan.
“Saya tak mahu duit keluarga dia. Dia (Amirul) sudah pergi, saya bagi khidmat percuma sebab saya tak sampai hati mahu ambil.
“Apa yang saya mahu ialah keadilan dan tugas masyarakat ialah sokong saya,” ujar Zaharil dalam siaran langsung di TikTok awal pagi tadi.
Kelmarin, ibu arwah Amirul Nashriq menerangkan secara ringkas kronologi yang berlaku terhadap anaknya sepanjang menuntut di UPNM dan mendapat perhatian Zaharil sehingga beliau bertekad mahu kes itu diberikan keadilan.
Pada 29 Mei 2018, media melaporkan, bapa Amirul, Othman Yusoff menuntut keadilan kerana kematian anaknya dipercayai terdapat unsur penderaan, bukan maut akibat lemas seperti dikatakan pihak polis.
Jelasnya, beliau curiga dengan laporan bedah siasat apabila kesan lebam pada dada anaknya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas.
Sedangkan, dua hari sebelum itu arwah sempat menghantar gambar kepadanya menunjukkan kesan lebam di dada akibat dipukul tiga pelajar senior di bahagian ulu hati sehingga senak.
Ketua Polis Daerah Bentong ketika itu, Superintendan Yusuf Unis berkata, berdasarkan siasatan mangsa lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang pada 24 Mac 2018.
Mangsa dikatakan tiba-tiba tenggelam dan gagal dikesan sebelum timbul 15 minit kemudian dengan rakan-rakan cuba menyelamatkannya namun tidak berjaya. – MalaysiaGazette