Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk yang merupakan bekas pegawai di sebuah anak syarikat milik penuh pemaju Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk yang merupakan bekas pegawai di sebuah anak syarikat milik penuh pemaju Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, kesemua individu terbabit ditahan kerana dipercayai menerima rasuah melibatkan satu projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta.

Katanya, perintah reman selama lima hari bermula semalam sehingga 3 Ogos ini terhadap kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60-an dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai telah menerima wang rasuah daripada satu syarikat pembinaan sebagai balasan kerana bersekongkol bagi menandatangani satu perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.

“Perjanjian yang ditandatangani ini dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

“Kesemua suspek telah ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 6.30 hingga 7 malam pada Isnin namun seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tengkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast