BAITULMAQDIS – Tiga syarikat penerbangan Amerika Syarikat dan Britain membatalkan penerbangan ke Israel susulan ketegangan keselamatan yang semakin memuncak ketika Tel Aviv bersiap sedia menghadapi kemungkinan tindakan balas daripada kumpulan Hezbollah susulan pembunuhan salah seorang pemimpin tentera utamanya di Beirut.
Radio Tentera Israel melaporkan, syarikat penerbangan Amerika United Airlines dan Delta Air Lines memutuskan langkah itu berikutan pembunuhan komander kanan Hezbollah, Fuad Shukr pada hari Selasa.
Harian Yedioth Ahronoth Israel juga mengesahkan British Airways telah mengumumkan penggantungan penerbangannya ke Israel.
“United Airlines, yang mengendalikan 14 penerbangan mingguan ke Tel Aviv, memaklumkan pelanggan mengenai pembatalan penerbangan untuk hari-hari mendatang.
“Delta membatalkan penerbangan Rabu dan Khamis dari New York,” kata akhbar itu.
Akhbar itu menyatakan “British Airways juga mengumumkan pembatalan, walaupun tidak jelas sama ada ia untuk 24 atau 48 jam akan datang”.
Pada hari Isnin lalu, Austrian Airlines dan Lufthansa Jerman menggantung penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
Pada bulan April, Israel menutup ruang udaranya selama tujuh jam akibat serangan dron dan peluru berpandu berat oleh Iran, tindakan balas terhadap serangan udara Israel ke atas kedutaan Tehran di Damsyik.
Serangan itu membunuh 16 orang, termasuk seorang pegawai kanan Pasukan Quds Iran.
Ketegangan keselamatan di Israel meningkat selepas Tel Aviv mengumumkan pembunuhan Shukr, 63, dalam serangan udara di sebuah bangunan di selatan Beirut pada malam Selasa.
Hezbollah mengesahkan pembunuhan Shukr pada petang Rabu.
Beberapa jam kemudian, kumpulan Hamas Palestin pula berkata, Tel Aviv membunuh ketua biro politiknya, Ismail Haniyeh, dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran.
Haniyeh telah tiba di ibu negara Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.
Kebimbangan semakin meningkat mengenai perang besar antara Israel dan Hezbollah di tengah-tengah serangan rentas sempadan selama berbulan-bulan. – Agensi