Gambar ihsan Bomba Pahang

KUANTAN – Seorang lagi mangsa yang cedera selepas rumahnya dirempuh lori treler di Pekan awal pagi tadi dilaporkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.30 petang tadi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 pagi membabitkan lori treler jenis Hino dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari Johor Bahru menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa melalui selekoh ke kiri, lori itu telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan,” katanya.

Akibat rempuhan tersebut, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, maut di tempat kejadian akibat tersepit di bawah runtuhan struktur rumah itu, manakala tiga lagi ahli keluarganya yang cedera di bawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, kira-kira sembilan jam kemudian, adik mangsa iaitu Mohd Waldon Faris pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang cuai semasa memandu lalu hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

“Selain itu, ujian saringan awal yang dijalankan oleh pihak Hospital Pekan mendapati pemandu lori itu juga positif dadah jenis Methamphetamine/Amphetamine,” tambah Mohd Zaidi.

Beliau memberitahu, kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Permohonan reman pemandu lori terbabit akan dikemukakan pada esok sebaik sahaja rawatan selesai. – MalaysiaGazette

Wanita maut lori treler rempuh rumah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast