Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat Malaysia Airlines MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah telah berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud ketika dihubungi Bernama berkata pesawat tersebut yang membawa lebih 250 jemaah umrah, dipercayai berpatah balik disebabkan masalah teknikal.

“Pihak syarikat telah memberikan laporan awal kepada CAAM, maklumat terperinci mengenai insiden ini kena tunggu siasatan penuh.

“Ini hanya sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan isu teknikal, mereka memutuskan untuk tidak meneruskan penerbangan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan semua anak kapal dan penumpang dalam pesawat itu berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah daripada dua agensi untuk menunaikan umrah, terpaksa berpatah balik selepas hampir dua jam berlepas dari KLIA.

Berdasarkan maklumat dipaparkan laman web www.Flightaware.com, penerbangan MH156 itu berlepas dari KLIA pada pukul 3.13 petang dan selamat mendarat pada pukul 4.56 petang.

Setakat 8.50 malam, MAS masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai insiden berkenaan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast