KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini akan meneruskan prosiding saman yang dikemukakan ibu kepada model warga Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit, terhadap Ketua Polis Negara dan tiga yang lain.
Difahamkan walaupun keluarga model ini telah mengemukakan cadangan penyelesaian tuntutan kepada kerajaan sebanyak dua kali namun tidak mendapat respons.
Dengan ini, kes itu yang dijangka bermula pada 14 Oktober hingga 20 November depan itu akan diteruskan.
Menurut peguam mewakili keluarga itu, Datuk Sankara Nair, pihaknya akan memanggil tujuh orang saksi ketika prosiding.
“Antara saksi termasuklah plaintif iaitu ibu mendiang, Christina Caroline Gerarda Johanna Verstappen,” katanya selepas pengurusan kes hari ini.
Christina mengemukakan saman berhubung dakwaan bahawa pihak polis gagal melaksanakan tanggungjawab dan cuai ketika menjalankan siasatan kematian anak perempuannya.
Christina memfailkan saman itu dengan menamakan Ketua Polis Negara (KPN); pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat pada November 2020.
Bagaimanapun, pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan saman Christina dengan alasan pernyataan tuntutannya selaku plaintif tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Di peringkat rayuan, Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2022, membenarkan rayuan Christina dan memerintahkan saman berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan meritnya didengar.
Dalam pernyataan tuntutannya, Christina berkata, beliau tidak menerima dapatan defendan termasuk pegawai penyiasat pertama yang menutup kes kematian anaknya sebagai kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri.
Kata beliau, ini merupakan keputusan dengan tergesa-gesa tanpa membuat siasatan menyeluruh daripada semua aspek dan mengambil kira laporan bedah siasat, kimia dan sebagainya sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam penyiasatan.
Sebelum ini juga, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana akibat nahas dan tiada elemen jenayah, tetapi ia diketepikan Mahkamah Tinggi pada 22 November 2019.
Ketika itu mahkamah mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.
Ivana ditemui mati pada 7 Disember 2018 dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium di Persiaran Capsquare di sini, selepas terjatuh dari tingkat 20.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menetapkan pada 14 hingga 16, 21 hingga 23 dan 28 hingga 30 Oktober serta 4 hingga 6, 11 hingga 13, dan 18 hingga 20 November 2024 bagi tarikh perbicaraan. -MalaysiaGazette