KUALA LUMPUR – Lima lelaki menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) yang sedang menyelenggara projek untuk mencuri kabel, berjaya ditumpas pihak polis di Jalan Besar Enggang AU2, Ampang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 32 tahun itu telah ditahan pada Sabtu lalu.
“Pada 3 Ogos lalu, sekitar jam 2.45 pagi, sepasukan anggota dari Balai Polis Hulu Kelang terserempak lima lelaki sedang melakukan kerja penyelenggaraan.
“Manakala seorang lagi lelaki berada di dalam lubang mainhole sedang memotong kabel.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, mereka telah potong kabel dan dalam proses tarik keluar kabel milik TM.
“Salah seorang suspek bertindak memperkenalkan diri sebagai penyelia dan menunjukkan surat penyelenggaran TM dalam telefon.
“Namun, pengesahan telah dibuat dengan pihak TM untuk hadir ke tempat kejadian mendapati surat tersebut adalah palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, susulan itu, pihaknya telah menahan kesemua suspek termasuk barang rampasan bagi tindakan lanjut.
Katanya, hasil semakan lanjut mendapati, dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang tidak dikehendaki dan ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua susspek didapati negatif dadah.
“Antara barang yang dirampas adalah dua kenderaan jenis Nissan Vannette, Mitubishi Triton, beberapa papan tanda jalan dan unit kon, T- Shirt TM, mesin pemotong rantai dan besi serta pelbagai barangan lain.
Berikutan itu, kesemua suspek direman bermula 3 Ogos hingga 6 Ogos ini di bawah Seksyen 431A Kanun keseksaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette