KAJANG – Video tular sebuah van jenazah yang dikesan dipandu dengan laju dan dikejar oleh sekumpulan lelaki bermotosikal sebenarnya bukan dicuri.
Rupa-rupanya, pemandu van berkenaan tersalah alamat dan terpaksa melarikan diri selepas disangka telah mencuri van dan melakukan pecah rumah sehingga cuba diserang oleh beberapa individu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya terkesan satu video tular itu di aplikasi media sosial atas nama pemilik akaun PakLiyy96 yang dipercayai berlaku di kawasan Hulu Langat.
Katanya, polis telah menerima satu laporan daripada seorang pemandu van jenazah berusia 35 tahun itu tentang insiden tersebut yang berlaku sekitar pukul 3.58 petang semalam.
“Siasatan awal kami mendapati lelaki itu memandu van jenazah ke satu kawasan perumahan di Kajang untuk dihantar kepada seorang mekanik sudah tersalah alamat menyebabkan dia terpaksa memandu perlahan.
“Namun disebabkan oleh salah faham, pemandu itu telah ditahan oleh sekumpulan lelaki yang menuduhnya memandu kenderaan curi dan terbabit kes pecah rumah di kawasan itu.
“Kumpulan lelaki itu juga didakwa cuba menyerang dan mengejar pemandu van jenazah itu dengan bersenjata kayu serta besi, menyebabkan pemandu itu melarikan diri bersama van jenazah demi menyelamatkan dirinya,” katanya menerusi kenyataan tengah malam tadi.
Tambah Naazron, semakan lanjut polis mendapati tiada sebarang laporan mengenai kes jenayah pecah rumah atau kecurian van jenazah dilaporkan malah nazir sebuah masjid iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun telah mengesahkan dia menyerahkan van itu kepada pengadu untuk dibaiki sebelum itu.
Rentetan kejadian berkenaan, polis membuka kertas siasatan dan menyiasat kesdi bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian bersabit dengan video tular yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain.
“Polis juga menasihati semua masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak benar di media sosial terutamanya yang boleh mendatangkan kekeliruan atau mengganggu ketenteraman awam sehingga menyebabkan berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menyebarkan maklumat dan berita tidak benar melalui peruntukan undang-undang yang ada di negara ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette















