Latheefa Koya.- Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Mohd. Akmal Saleh menyarankan agar bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dijemput ke Majlis Himpunan Huffaz 24K.

Jemputan itu dibuat selepas Latheefa mengkritik program tersebut yang disifatkan sebagai “gimik mahal” kerajaan bagi menunjukkan ia lebih mengangkat Melayu dan Islam berbanding pesaing politiknya.

Menurut Mohd. Akmal, kritikan Latheefa memperlihatkan peguam tersebut ‘koyak’ dan hatinya boleh dibersihkan melalui program berkenaan selepas mendengar ayat-ayat al-Quran dibacakan.

“Ini bukan mahu tunjukkan siapa lebih Islam tetapi tanggungjawab sebagai pemimpin negara Islam yang perlu memartabatkan agama Islam tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.

“Jemput minah ni datang nanti untuk dengarkan ayat al-Quran masa program himpunan huffaz nanti, mana tahu terus bersih hati dia nanti. Tak adalah koyak sangat,” katanya melalui media sosial.

Media melaporkan, Latheefa mengkritik program tersebut dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan mendakwa, tanpa segan silu mengakui matlamat politik di sebalik acara tersebut.

Latheefa mendakwa program itu satu pembaziran dan seharusnya dibelanjakan kepada jalan yang lebih baik terutamanya diberikan kepada golongan miskin.

“Satu lagi gimik mahal kerajaan Madani untuk menunjukkan mereka lebih Islamik dan lebih Melayu daripada Pas-PN. Zahid sendiri tanpa segan silu mengaku matlamat politik di sebalik acara ini.

“Apa-apa pun, bagaimanakah sejumlah wang yang banyak dibelanja bagi mengumpulkan 24,000 huffaz pada acara sekali anjur begini menjadi satu bentuk komitmen yang sebenar kepada Islam?” katanya di platform X.

Ahmad Zahid sebelum ini menyasarkan untuk menghimpunkan 24,000 huffaz di seluruh negara akan dilaksanakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Majlis Himpunan Huffaz 24K merupakan kesinambungan himpunan sama tahun lepas dan akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, program itu tersebut merupakan bukti bahawa iltizam dan tekad Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan agama Islam, serta komitmen dan tekad Perdana Menteri yang mahu melihat Islam tertanam dengan baik dan syumul.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast