GAZA – Tentera Israel menyerahkan 89 mayat penduduk Palestin yang diculiknya ketika melakukan serangan di jalur Gaza, membabitkan tengkorak dan mayat yang telah reput.
Menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza, dalam tempoh 309 hari tentera Israel melakukan genosid terdapat lebih 2,000 mayat penduduk Palestin di berpuluh-puluh perkuburan di Gaza yang telah dirosakkan dengan menggunakan traktor pencakar tanah dan peralatan tentera.
Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Palestin di Khan Younis, Yamen Abu Suleiman berkata, Israel tidak menyediakan maklumat mengenai mayat itu, yang membabitkan nama ayau di mana mereka dijumpai.
“Kami tidak tahu jika mereka syahid (terbunuh di Gaza) atau dari penjara (Israel),” katanya.
Tambahnya, tentera Israel berkali-kali melakukan jenayah tersebut semasa melaksanakan genosid, termasuk sebelum ini mereka menggali kubur di Khan Younis, Jabalia dan kejiranan al-Tuffah.
Kenyataan tersebut turut mengesahkan tentera Israel masih memegang berpuluh-puluh mayat.
Katanya, pemindahan mayat ke lokasi yang tidak diketahui dan mencacatkan mayat dianggap melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang boleh dihukum menerusi undang-undang antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, Israel dan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah tersebut dan mencadangkan pengwujudan jawatankuasa siasatan antarabangsa bebas untuk menyiasat penculikan yang dilakukan tentera Israel yang turut didakwa mengambil organ mangsa.
“Israel mempunyai sejarah menculik mayat penduduk Palestin semasa menyerang Jalur Gaza.
Selepas mencuri organ daripada sesetengan mereka (mayat), penceroboh Israel menyerahkannya pada akhir Januari lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette