KUALA LUMPUR – Laporan yang mendakwa Tesla membatalkan hasrat untuk membina kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia bukan kenyataan rasmi daripada syarikat yang dimiliki oleh Elon Musk.
Sumber dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, sebarang pengesahan perlu datang daripada Tesla sendiri.
Tegasnya, sebarang keputusan yang dibuat oleh syarikat multinasional tidak memberi sebarang gambaran terhadap pembaharuan yang telah dilakukan oleh MITI.
“Sila ambil perhatian bahawa laporan ini bukanlah kenyataan rasmi daripada Tesla tetapi memetik sumber yang tidak dinamakan. Pengesahan mengenai laporan itu perlu datang dari Tesla.
“Sila ambil perhatian juga bahawa ini juga mungkin keputusan komersial sebuah syarikat multinasional mengenai operasi global mereka, ia tidak mencerminkan reformasi industri dan landskap pelaburan yang lebih baik yang telah diusahakan oleh MITI dan agensinya sejak Disember 2022,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media.
Media tempatan sebelum ini memetik laporan akhbar Thailand, The Nation bahawa Tesla membatalkan rancangan untuk membangunkan kilang pembuatan kenderaan EV di Thailand, Malaysia dan Indonesia.
The Nation yang memetik sumber di Government House, Thailand melaporkan, keputusan itu susulan pemberhentian pasukan eksekutif Tesla yang melawat Thailand pada November-Disember.
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mengumumkan pada November tahun lepas bahawa Tesla bersedia untuk menjadikan Thailand sebagai hab pembuatan EV.
Beliau mengumumkan Tesla sedang meninjau tiga tapak kilang yang berpotensi di Thailand dan dijangka mengumumkan pelaburan lebih AS$5 bilion pada suku pertama tahun ini.
Pada November tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, “Ya, beliau (Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk) positif mengenai kehadiran Tesla di Malaysia,” katanya ketika ditanya mengenai panggilan video beliau bersama Musk.
Anwar turut menganggap kehadiran Tesla di Malaysia sebagai satu petunjuk yang baik terhadap negara ini selain turut memberi manfaat dari segi pertambahan jumlah Stesen Pengecas Super bagi kenderaan EV.
Bagaimanapun sehingga kini syarikat gergasi kenderaan elektrik (EV) antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS) itu hanya membuka sebuah Pusat Tesla pertama di negara ini pada Oktober 2023.
Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, bangunan dua blok itu hanya memuatkan bilik pameran, jualan, sistem pengecas super, auditorium, ruang kerja dan pusat servis.-MalaysiaGazette
















