Datuk Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Isu perobohan dewan komuniti Taman Sri Sinar di Segambut semalam oleh pihak berkuasa dengan alasan ia struktur haram terus mendapat kritikan.

Malah walaupun struktur bangunan yang dipercayai menjadi pusat latihan sukan seperti karate serta aktiviti  bagi golongan B40 selama lebih 30 tahun didakwa telah dirobohkan tanpa mengambilkira pandangan penduduk setempat.

Ketua Bahagian MIC Bahagian Segambut, Datuk Sivakumar Nadarajah mempersoalkan mengapakah pihak berwajib tidak terus mengambil tindakan terhadap pemilik struktur haram itu terlebih dahulu.

Lagi pun pengusaha bangunan sudah melakukan pelbagai inisiatif termasuklah cubaan untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Segambut merangkap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

“Penduduk tidak bising tentang wujudnya struktur bangunan haram ini. Ia digunakan oleh semua termasuklah penduduk setempat. Saya sendiri sedia maklum tentang isu kerana penguasa tempat itu juga pernah datang berjumpa saya untuk bantuan.

“DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) telah memberi kejutan dengan terus merobohkan bangunan tersebut tanpa mendengari luahan oleh penduduk kawasan tersebut.

“Soalan saya, mengapa pihak berkuasa bukannya menangkap atau mengenakan tindakan tegas terhadap pengusaha haram tanpa kelulusan dan terus merobohkan kawasan tersebut?” soalnya dalam kenyataan.

Sivakumar mengakui beliau terkesan apabila melihat golongan anak-anak muda yang sedang dalam proses latihan dan bersedia untuk ke SUKMA menangis kerana lokasi itu dirobohkan.

“Semasa pengusaha datang berjumpa, saya telah memaklumkan dan berharap supaya Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Kawasan Segambut akan menyelesaikan kemelut begitu lama. Tetapi saya memang tidak nampak apa-apa perkembangan menjurus ke arah, tiba-tiba sudah roboh.

Beliau bagaimanapun memahami tugas DBKL yang bertanggungjawab ke atas dewan komuniti itu telah cuba menuntut semula hak pengurusan dewan tersebut selama hampir setahun. – MalaysiaGazette