gambar tular seorang pemain bola sepak yang dikatakan membawa kerambit baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan terhadap pemain bola sepak amatur yang dipercayai mengacukan objek tajam dalam insiden perselisihan semasa perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre, minggu lepas telahpun dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya (TPR).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, pihaknya mencadangkan agar pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Bagaimanapun, teman wanita pemain bola sepak itu kini masih lagi dalam tahanan imigresen.

Sebelum ini media melaporkan, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun.

Penahanan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang, Selangor, pada jam 6.30 petang.

Hasil siasatan, suspek mengaku mengeluarkan senjata tajam iaitu kerambit bagi mempertahankan diri dalam kejadian itu.

Terdahulu, tular seorang pemain sebuah pasukan amatur kelihatan menggunakan objek tajam menyerupai kerambit dalam pergaduhan dipercayai ketika berlangsungnya perlawanan liga sosial.

Dalam hantaran tular berkenaan, kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira 12.30 tengah malam membabitkan seorang pemain yang memakai jersi bernombor 7 dari sebuah pasukan amatur. – MalaysiaGazette