KUANTAN – Niat hanya suka-suka menunggang motosikal membawa padah kepada penunggangnya apabila seorang remaja perempuan terpaksa menolak motosikalnya dari Tanjung Lumpur ke balai trafik Kuantan sejauh kira-kira empat kilometer sehingga sebelah selipar dipakainya putus.
Remaja perumpuan berusia 16 tahun yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Pengangkutan Jalanan (JPJ) Pahang berkata, “Ini kali pertama kena tahan dan saman polis, merasalah tolak motor sampai selipar putus.
“Saya dengan kawan saja nak keluar jalan-jalan ke Pantai Sepat, tak sangka sangkut (ditahan). Mujur juga polis trafik bantu tolak motosikal saya,” katanya.
Beliau yang dibawa ke Balai Trafik Kuantan itu dikenakan tiga saman membabitkan kesalahan tiada lesen, tiada cermin sisi motosikal dan nombor plat tidak mematuhi spesifikasi yang dibenarkan.
Menurutnya, beliau bercadang untuk mengambil lesen pada bulan depan namun nasib tidak menyebelahinya kerana ditahan dalam operasi tersebut.
“Saya dah daftar untuk lesen L bulan September untuk duduk ujian komputer motor.
“Saya mengaku salah saya sebab berani cuba-cuba bawa motosikal sebulan ini tanpa lesen,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette tengah malam tadi.
Beliau merupakan satu-satunya remaja perempuan bawah umur yang ditahan bersama 29 lelaki lain dalam Ops Samseng Jalanan JSPT Pahang.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika dihubungi memberitahu, sebanyak 30 motosikal disita daripada 79 buah yang dibawa balik ke balai dalam operasi berkenaan.
Kesemua sitaan kenderaan disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ujarnya.
“Manakala 49 motosikal tidak disita tetapi dikeluarkan saman pelbagai kesalahan ke atas pemilik.
“Sebanyak 155 saman dikeluarkan membabitkan 33 kesalahan nombor plat, ubah struktur dan tiada cermin sisi (29), tiada lesen (19), lesen kenderaan motor tamat tempoh (8), dan lain-lain,” katanya.
Sebanyak 42 kes membabitkan penunggang motosikal di bawah umur, antara 13 hingga 17 tahun, ditahan untuk tempoh antara Januari sehingga 11 Ogos lalu. – MalaysiaGazette