Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri tiba di tanah air selepas menamatkan temasya sukan Olimpik Paris 2024 di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Foto SADIQ SANI, 13 OGOS 2024

SEPANG – Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mengaku masih memerlukan latihan yang cukup sebelum menyertai temasya sukan Olimpik di Paris 2024.

Ujar beliau, masa latihan mendepani sukan berkenaan kali ini agak singkat.

Meskipun keputusan yang diraih tidak seperti yang diharapkannya namun  penerjun berusia 25 tahun itu tidak pernah menyesal kerana yakin telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik. 

“Semua Olimpik saya puas hati, mungkin kali Ini bukan keputusan yang kita mahu tapi saya dan pelatih gembira, kami tidak menyesali apa-apa. Kita dah berikan semuanya, sudah bercakap, sudah.

“Kami tidak menyesal, banyak lagi perkara boleh dilakukan macam saya cakap masa adalah musuh utama saya,” katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Dhabitah menamatkan episod Paris 2024 dengan menduduki tangga tercorot final tiga meter (m) papan anjal di Pusat Akuatik Olimpik selepas bersaing dalam kuota yang tidak digunakan berkata, beliau tidak bersedia sepenuhnya untuk cabaran di peringkat Olimpik.

Penampilan ketiga selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020, beliau dipilih untuk mengisi satu slot tambahan diberikan oleh Akuatik Dunia kepada Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi beraksi di Paris pada lewat Jun.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan komunikasi dalam pasukan amat penting demi memastikan setiap ahli dapqt memberikan prestasi yang membanggakan.

Sementara itu, Dhabitah berkata, beliau menumpukan masa untuk merehatkan fizikal dan mental selepas sibuk beberapa waktu berlatih sebelum ini.

“Saya tidak ada kata putus nak buat apa lagi, buat masa sekarang saya nak rehat dahulu,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast