HULU SELANGOR – Selepas menghilangkan diri dari rumahnya di Bandar Baru Batang Kali, di sini, sejak 6 Ogos lalu, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemui selamat pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pelajar Tingkatan 5 itu kembali ke pangkuan keluarganya dengan pulang sendiri ke kediamannya awal pagi tadi.
“Remaja tersebut, Sharifah Amirah Alya Sayed Yusrizal, pulang ke kediamannya kira-kira jam 3.30 pagi.
“Keluarga sudah memaklumkan kepada polis berhubung kepulangan remaja itu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan remaja perempuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Batang Kali dilaporkan menghilangkan diri dari kediamannya di Bandar baru Batang Kali, di sini, sejak 6 Ogos lalu.
Menurut Ahmad Faizal, Sharifah Amirah Alya dipercayai menghilangkan diri pada jam 11.30 pagi, Selasa lalu.
Kehilangan remaja itu dipercayai berpunca ibunya yang berusia 41 tahun didakwa memberi tekanan dan menghalang pelajar Tingkatan 5 itu daripada menamatkan pelajarannya, selain menuntut kebebasan membuat keputusan.
Ibu remaja itu bagaimanapun meminta dia menghabiskan pelajaran terlebih dahulu, dipercayai merujuk kepada pembelajarannya di peringkat sekolah.
Ahmad Faizal memberitahu, remaja perempuan itu hanya berbekalkan telefon bimbit sahaja sepanjang kehilangannya dalam tempoh tujuh hari itu.
Sebelum ini, Ahmad Faizal turut mengesahkan Sharifah Amirah Alya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Katanya, remaja perempuan itu turut tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang luar biasa sebelum menghilang diri sejak Selasa lalu. – MalaysiaGazette