Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Tindakan suspek kes samun yang enggan berhenti menyebabkan polis berbalas tembakan dalam kejadian susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuh Raya SILK dekat Kajang petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, insiden sekitar 3 petang itu berlaku selepas suspek dikesan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang sedang membuat rondaan di lokasi.

“Pasukan terbabit telah menahan kereta dipandu suspek namun lelaki itu enggan berhenti sebaliknya melepaskan tembakan ke arah polis.

“Polis kemudian telah membalas tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan dalam kejadian tersebut.

“Dalam kejadian itu, seorang anggota polis turut terkena tembakan namun terselamat kerana ia terkena baju kalis peluru yang dipakai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hussein, suspek dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia pertengahan 30-an dan mempunyai enam rekod jenayah samun.

“Suspek dipercayai juga terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu dan siasatan berkait kes ini dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh),” ujarnya.

Pada 17 Jun lalu, sekumpulan individu bertopeng dan bersenjata merompak sebuah kedai emas dan empat orang suspek dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan memasuki premis itu.

Kemudian, kesemua suspek memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul selain membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang. – MalaysiaGazette