Mokhtar Mahmood berada di Unit Jabatan Forensik di Hospital Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2024

SHAH ALAM – Mayat lelaki dipercayai Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang selamat ditemukan di Sungai Klang akan menjalani proses bedah siasat jam 9 pagi, pada Khamis (esok).

Ayah mangsa, Mokhtar Mahmood berkata, proses bedah siasat itu tidak akan dijalankan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam, di sini, malam ini.

“Jenazah anak lelaki saya dijangka mula dilakukan post mortem jam 9 pagi esok di Hospital Shah Alam.

“Post mortem tak dapat dijalankan malam ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di luar pekarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam, di sini, malam ini.

Terdahulu, jenazah lelaki dewasa dipercayai Nidza Afham yang dibawa menaiki kenderaan pikap Polis Diraja Malaysia (PDRM) selamat tiba di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Suasana suram menyelubungi ahli keluarga yang tidak dapat menahan kesedihan apabila jenazah penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23 yang hilang selepas keluar berjoging telah ditemui dan dibawa ke Unit Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat ketika di Hospital Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2024

Ketibaan jenazah yang juga abang kepada penyanyi Aufahanie itu diiringi lebih 10 ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang, kira-kira jam 7 malam tadi adalah Nidza Afham.

Sebelum itu, MalaysiaGazette melaporkan Nidza Afham dilaporkan hilang kira-kira jam 7.45 malam semalam.

Penyanyi berusia 23 tahun itu dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, kira-kira jam 11.53 malam.

Bagaimanapun dompet dan telefon bimbit Nidza Afham itu ditemui di Jambatan Kota, Sungai Klang.

Menurut bapa mangsa lagi, Allahyarham Nidza Afham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, selepas selesai proses bedah siasat, esok.

“Jenazah dijangka kebumi di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam esok.

“Solat jenazah pula akan dilakukan di Masjid Puncak Alam,” katanya.

Sementara itu, Mokhtar bersama ahli keluarga yang lain akan berada di Puncak Alam sehingga proses pengebumian selesai.

“Keluarga akan stand down di Bandar Puncak Alam,” katanya lagi – MalaysiaGazette