LTdL 2024

KUALA LUMPUR – Dua jersi yang dimenangi tahun lalu belum cukup memuaskan Tudor Pro Cycling Team yang melaungkan amaran awal mahu mendominasi gelaran pelumba terbaik keseluruhan apabila Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 memulakan saingan daripada 29 September hingga 6 Oktober depan.

Pasukan berpangkalan di wilayah Sursee, Switzerland itu berjaya menguasai dua gelaran – memenangi jersi oren untuk kategori pecut dan jersi polka dot selaku juara pendakian – pada tahun lalu menerusi kehebatan kayuhan Arvid De Kleijn dan Simon Pellaud.

Kali ini, kedua-dua pelumba itu bakal kembali memikul cabaran bagi mempertahankan jersi masing-masing ketika Tudor Pro Cycling juga mengidamkan jersi hijau keseluruhan apabila turut menamakan pelumba-pelumba handalan seperti Sebastian Kolze Changizi (Denmark), Rick Pluimers dan Maikel Zijlaard (Belanda) serta Mathys Rondel (Perancis).

Daripada enam pelumba berkenaan, De Kleijn sudah melakar pencapaian paling membanggakan setakat ini pada tahun 2024 apabila memenangi peringkat kedua perlumbaan Paris-Nice selain tiga kali muncul naib juara peringkat perlumbaan di UAE Tour, kata satu kenyataan.

Keupayaan Pluimers dan Zijlaard juga tidak kurang hebatnya untuk merealisasikan sasaran Tudor Pro Cycling itu setelah Pluimers, pada usia 23 tahun, berjaya meraih tempat kedua peringkat ketiga perlumbaan Gree-Tour of Guangxi manakala Zijlaard, 25 tahun, memenangi peringkat prolog pada Tour de Romandie, April lalu.

Selain Tudor Pro Cycling, pasukan EF Education Easypost dari Amerika Syarikat akan kembali untuk mempertahankan kemenangan jersi hijau keseluruhan menerusi Simon Carr serta kejayaan muncul selaku juara berpasukan keseluruhan.

Bakal memberikan tentangan sengit sudah pastinya dua lagi pasukan berstatus World Team, Astana Qazaqstan Team ( Kazakhstan) dan DMS Firminich PostNL (Belanda) yang membentuk keseluruhan 22 pasukan untuk saingan LTDL 2024 yang memasuki edisi ke-28 perlumbaan.

Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer tahun ini bakal menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan saingan selain dua peringkat buat julung kalinya dilangsungkan di dua bandar di Sarawak – Miri serta Bintulu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast