KUALA LUMPUR – Ringgit menambah nilai sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)agi tahun ini hingga 13 Ogos lalu menyaksikan peningkatan mata wang itu antara yang aktif di rantau ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata, pada asas kadar pertukaran efektif nominal, ringgit turut menambah nilai sebanyak 5.3 peratus.
Hal itu sebahagiannya katanya disebabkan oleh jangkaan yang semakin meningkat dalam kalangan peserta pasaran kewangan berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS yang telah meredakan tekanan terhadap mata wang serantau termasuk ringgit.
“Inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) beserta libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pelabur terus memberikan sokongan terhadap ringgit.
‘Semua usaha ini telah menyebabkan aliran yang lebih besar dan konsisten ke dalam pasaran pasaran pertukaran asing.
“Purata harian bagi jumlah urus niaga pertukaran asing (FX) telah meningkat kepada AS$18 bilion untuk tempoh 26 Februari hingga 13 Ogos lalu, berbanding AS$15 bilion dari 2 Januari hingga 23 Februari lalu.
“Spread bida-tawar juga lebih kecil, menunjukkan kecairan dalam pasaran domestik FX yang bertambah baik,” katanya pada majlis pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin. – MalaysiaGazette