GUA MUSANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mencatatkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, sejumlah 71.87 peratus pengundi DUN Neggiri telah menunaikan tanggungjawab setakat pukul 4 petang berbanding 61 peratus pada PRN Kelantan yang berlangsung pada Ogos tahun lepas.
Peratusan itu sekali gus menyaksikan sasaran SPR yang menjangkakan peratusan keluar mengundi hari ini melebihi 60 peratus tercapai.
Terdahulu, sebanyak 20 pusat pengundian bagi PRK Nenggiri dibuka serentak pada jam 8 pagi ini.
Daripada jumlah pusat pengundian itu, sebanyak 14 pusat pengundian dibuka sehingga jam 6 petang dan enam pusat pengundian ditutup lebih awal.
Empat pusat mengundi ditutup pukul 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai.
Manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Seramai 20,216 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu mereka.
BN yang memegang kerusi DUN itu selama empat penggal sejak ia mula dipertandingkan pada 2004, hanya tewas kepada PN Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas dengan majoriti 810 undi.
Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).-MalaysiaGazette