Aedy Fadly Ramli

KUALA LUMPUR – Bemula esok, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melanjutkan waktu pengoperasian kaunter selama satu jam di beberapa negeri terpilih bagi memudahkan urusan pelanggan.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, kaunter itu akan dibuka setiap hari Isnin dan Jumaat di JPJ Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, manakala setiap hari Ahad dan Khamis di JPJ Johor.

“Semua hari tersebut dikategorikan sebagai ‘hari sesak atau sibuk’ dengan trend pelanggan yang tinggi.

“Pertambahan waktu operasi kaunter di JPJ ini akan dilaksanakan secara berperingkat yang seterusnya akan melibatkan JPJ Negeri yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Aedy Fadly, pihak JPJ juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Tadbir Urus yang fokusnya bagi peningkatan kualiti JPJ.

Katanya lagi, JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan kepada rakyat, selaras dengan Aspirasi Malaysia Madani.

“JPJ bertekad dan beriltizam untuk meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutamanya penyampaian perkhidmatan kaunter di setiap JPJ negeri dan cawangan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Berikutn itu, JPJ ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan di atas berita baik terutamanya dalam melaksanakan pelarasan gaji kepada pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta pegawai kumpulan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam terutamanya warga JPJ,” jelasnya. – MalaysiaGazette