KLANG – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Taman Kucing di Bandar Bukit Raja, hari ini.
Taman tersebut diwujudkan hasil kerjasama di antara Sime Darby Property dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertujuan untuk menyediakan tempat selamat bagi kucing terbiar.
Dalam masa yang sama, taman tersebut mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dengan penglibatan komuniti.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Noraini Roslan ketika menyampaikan ucapan berharap usaha seperti yang dilakukan pihak Sime Darby ini akan dapat menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mengambil peduli kehidupan haiwan-haiwan terbiar.
“Pembinaan taman kucing membantu masyarakat menyebarkan kesedaran. Usaha ini kita harapkan dapat dipanjangkan kepada perkara lain,” katanya.
Jelasnya, ia bertujuan untuk memelihara dan merawat kucing terbiar yang dibuang di kawasan berkenaan.
“Sini bukan tujuannya untuk hantar kucing peliharaan orang lain tapi kucing yang terbiar. Bilangan kucing untuk diletakkan sangat terhad jadi kita sangat mengharapkan masyarakat akan mengambil, memelihara kucing yang berada di sini supaya kita dapat menerima kucing-kucing yang lain,” katanya lagi.
Taman tersebut secara maksimumnya boleh menempatkan 200 ekor kucing terbiar.
Sehingga kini sebanyak 38 ekor kucing terbiar yang berada di taman itu.
Taman Kucing ini terdiri daripada pusat kuarantin, tempat perlindungan dan rumah dan kawasan permainan yang semuanya direka untuk menyediakan persekitaran yang selesa untuk penghuninya.
Selain itu, taman ini turut menyediakan kemudahan untuk proses pengambilan kucing dan program pendidikan mengenai penjagaan haiwan berkenaan. -MalaysiaGazette