Shuhaily Mohd. Zain

SUBANG JAYA – Seorang lelaki dari Afrika mati ditembak dalam insiden berbalas tembakan di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, Selangor, petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd. Zain yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek berusia lewat 30-an itu merupakan antara individu yang dikehendaki dalam kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang.

Katanya, lelaki itu dipercayai melepaskan lima das tembakan ketika diarah memberhentikan kenderaan.

“Ketika aksi kejar mengejar itu, sebanyak dua das tembakan telah mengenai kenderaan polis sebelum suspek berjaya ditumpaskan.

“Kita telah menjejaki kumpulan ini sejak sekian lama dan suspek bergiat aktif dalam kegiatan samun bersenjata api sejak 2018 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 45 kes melibatkan jumlah kerugian sebanyak hampir RM8 juta.

“Terdapat dua kes terbaru dikesan berlaku tahun ini dan masih dalam siasatan membababitkan kerugian RM32,000,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Dalam kejadian itu katanya, polis turut menemui sepucuk pistol jenis ‘revolver’ yang digunakan suspek ketika insiden tembakan.

Tambah beliau, polis masih memburu 10 lagi suspek lain dipercayai terdiri daripada lelaki dan perempuan berasal dari negara sama.

Mengenai modus operandi suspek, Shuhaily berkata kumpulan ini menawarkan jualan barang kemas, pertukaran mata wang asing, serta beberapa pelaburan lain di media sosial.

“Suspek akan bertemu mangsa di hotel dan akan diarah ke lokasi seterusnya menaiki kenderaan bersama sebelum ahli kumpulan lain mula menyerang menggunakan senjata,” ujarnya.

Ujar beliau, operasi terbabit dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman menerusi hasil risikan melibatkan kerjasama polis dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Shuhaily juga memaklumkan, mayat suspek akan dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette