Nabila Razali

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Nabila Razali memohon maaf atas kekhilafan yang dilakukan sehingga didenda atas kesalahan memandu kereta tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans.

Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd. Razali mengakui pacuan empat roda dipandu ibunya, Shamsidah Abdul Rahman, 58, merupakan kenderaan yang didaftar atas namanya.

“Sebenarnya kereta itu saya hadiahkan kepada ibu dan masih atas nama saya. Jadi, apabila terdapat kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan itu sekali gus sebagai pemilik saya turut terpalit.

“Saya akui pada hari kejadian kereta itu memang dipandu ibu.

“Perkara ini juga sudah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku salah selaku orang kena saman (OKS),” katanya dalam sebuah kenyataan.

Selain itu, penyanyi lagu Peluang Kedua itu berharap perkara tersebut dapat memberikan pengajaran kepada orang lain.

“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan sahaja buat saya dan ibu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Sekali lagi, sebagai pemilik kereta ini saya mohon maaf,” ujarnya.

Semalam, Nabila dan ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah kerana memandu kereta tanpa LKM dan perlindungan insurans pada bulan Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Nabila, 31, sebagai pemilik kereta didapati membenarkan ibunya menggunakan kenderaan itu dengan LKM tamat tempoh pada 29 September lalu dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast