Pegawai, anggota APMM cedera diserang nelayan Vietnam.

KUALA LUMPUR- Seorang pegawai dan seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu cedera selepas bergelut dengan nelayan Vietnam di sempadan perairan negara.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian berlaku kira-kira 125 batu nautika dari Kuala Terengganu, sekitar 6.45 petang semalam.

Tambah beliau, Lt Madya Yusuf Kamal dan Laskar Kanan Maritim Mujibur Rahman Mat Jusoh masing-masing cedera di bahagian rusuk kiri, tangan dan kaki akibat diserang dengan objek tajam.

Katanya, kejadian berlaku semasa anggota APMM menjalankan Op Naga Barat bagi mengekang nelayan asing menangkap ikan di perairan negara.

“Semasa pasukan menggeledah dari KM RAWA sedang memeriksa bot nelayan asing tersebut, tiba-tiba kesemua nelayan asing yang berada di atas bot berkenaan bertindak agresif dengan menyerang anggota berkenaan.

“Akibat serangan itu, dua anggota cedera ketika cuba mempertahankan diri manakala seorang lagi anggota terjatuh ke dalam laut semasa pergelutan berlaku, namun berjaya diselamatkan oleh kru KM RAWA.

Khairul Anuar berkata sewaktu kejadian sebuah kapal penguatkuasa negara Vietnam juga didapati turut berada berhampiran lokasi dan cuba mengganggu tugas pasukannya yang mahu menahan kesemua nelayan terbabit.

Beliau berkata KM RAWA telah mengusir bot nelayan dan kapal penguat kuasa tersebut keluar dari perairan negara bagi mengawal situasi getir itu sebelum berpatah balik ke jeti Maritim Terengganu untuk memberikan rawatan kepada mangsa.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kesemua mereka kini dilaporkan stabil serta dipantau rapi pihak hospital.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast