Sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi bernilai RM20 juta berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 9 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR – Sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi bernilai RM20 juta ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 9 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, ia dilakukan menerusi serbuan Op Tiris 3.0 di beberapa premis di sekitar Perak, Selangor dan Johor.

Katanya, pihaknya telah melakukan risikan selama beberapa bulan sebelum menyerbu syarikat pengilang, pembungkusan dan pemborong minyak masak itu.

“Modus operandi digunakan sindiket ini melibatkan proses penghantaran minyak masak bersubsidi yang sepatutnya dilakukan oleh pengilang minyak masak beroperasi di Ipoh, Perak ke tiga syarikat pembungkusan minyak masak (repackers) di negeri sama.

“Namun, penghantaran tersebut sebaliknya tidak berlaku, tetapi dihantar ke syarikat-syarikat pemborong minyak masak di Selangor dan Johor dalam kuantiti tertentu.

“Minyak masak bersubsidi terbabit sebahagiannya dikumpulkan di syarikat pemborong di Selangor dan Johor, kemudian dibungkus semula menggunakan minyak masak botol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Tambah beliau, kemudian ia dijual di pasaran mengikut harga minyak masak botol bukan bersubsidi sehingga memperoleh keuntungan berganda.

“Syarikat di Perak memperoleh kelulusan membungkus minyak masak berjumlah 550 metrik tan sebulan hanya menghantar sebahagian jumlah yang kecil kepada syarikat pembungkus di negeri terbabit dan selebihnya diseleweng sehingga menimbulkan gangguan bekalan di kawasan berkenaan.

“Susulan itu, kita menyita dokumen perniagaan, wang tunai RM163,000, invois belian dan jualan dokumen tuntutan subsidi minyak di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) dan beberapa peralatan termasuk kenderaan,” ujarnya.

Berikutan itu, KPDN telah menahan dua lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 tahun di sebuah kilang di Johor bagi membantu siasatan.

Jelasnya, ketiga-tiga syarikat itu telah digantung kuota bagi mengelakkan terus berlaku ketirisan lebih besar kepada kerajaan.

Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001) (Akta 613). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast