Pengamal media Johor merakam kenangan selepas Majlis Ramah Mesra UDA Bersama Media Johor di Hard rock Cafe Puteri Harbour, Iskandar Puteri, malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – UDA Holdings Berhad (UDA) merangka pelbagai rancangan pembangunan baharu di Johor bersempena sambutan Jubli Emas 50 tahun perniagaan di negeri ini pada tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany berkata, antara pembangunan baharu yang dicadangkan melibatkan pembinaan sebuah blok pangsapuri perkhidmatan 34 tingkat di pusat bandar Tampoi dan dua blok 35 tingkat di Skudai Kanan, di sini.

“Pihak UDA turut merangka kesinambungan pembangunan bandar lestari di Bandar Uda Utama membabitkan rumah bandar dan teres dua tingkat, kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta pangsapuri termasuk pangsapuri kos sederhana.

“Perancangan pembangunan ini menggabungkan elemen moden, elegan dan lestari.

“Bandar yang dibina dengan bahan mesra alam dan sistem cekap tenaga ini juga akan mengintegrasikan kemudahan bandar dengan ketenangan, reka bentuk inovatif, rang hijau subur dan seni bina canggih untuk gaya hidup ceria dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra UDA Bersama Media Johor, di Hard Rock Cafe Puteri Harbour,di sini malam tadi.

Mohd Salem berkata, penglibatan UDA di Johor yang bakal mencapai 50 tahun pada 17 Julai 2025, adalah bersempena usia penubuhan cawangan perniagaan anak syarikat Land (South) Sdn Bhd (ULSSB) dan UDA Angsana Sdn Bhd.

Tambahnya, ‘Road to Golden Years – 50 Years & Beyond’ diangkat sebagai tema perjalanan UDA di Johor.

“Kejayaan ini adalah tanda sokongan dan kepercayaan para pemegang taruh, para pelanggan, rakan-rakan strategik serta sokongan rakan-rakan media terutama di negeri in yang banyak membantu mengetengahkan produk-produk sertad perkhidmatan UDA kepada masyarakat umum,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Salem berkata, pelbagai aktiviti dan promosi menarik akan turut dirancang bagi menghargai sokongan berterusan pelanggan Angsana Johor Bahru Mall (AJBM) yang beroperasi sejak 1997 dan berjaya menarik lebih 15 juta pengunjung saban tahun.

Ujarnya, AJBM membawakan dua jenama baharu Kirana yang menawarkan pelbagai produk kraftangan dari 13 negeri dan Mari Mart yang merupakan pusat runcit sehenti menyatukan pelbagai produk makanan dan minuman.

Tambahnya, pembukaan Kirana dan Mari Mart adalah selari dengan hasrat UDA dalam menyokong usaha memperkukuhkan pasaran produk usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

“Pusat beli-belah lima tingkat yang menawarkan ruang niaga seluas 400,000 kaki persegi itu turut menawarkan dewan acara ‘Laman Astana’ yang dilengkapi kemudahan terkini dan boleh memuatkan sehingga 1,000 tetamu.

“Ia sesuai digunakan bagi majlis perkahwinan, konsert, makan malam, majlis graduasi dan pameran selain turut menyediakan empat gelanggang badminton untuk rekreasi dan kawasan terbuka yang luas dan dapat memuatkan sehingga 10 khemah,” katanya.

Beliau berkata, Karnival UDA 2024 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya akan menjelajah ke Bandar Tun Hussein Onn di Cheras pada September, diikuti Johor Bahru pada Oktober dan penutupnya di Kuching, Sarawak akhir Oktober ini.

“Orang ramai dialu-alukan berkunjung ke galeri jualan UDA Land (South) bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk hartanah UDA di negeri itu serta UDA Angsana untuk maklumat berkaitan lot niaga serta tawaran insentif ke arah pemerkasaan aktiviti keusahawanan UDA,” ujarnya.- MalaysiaGazette