KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menafikan dakwaan pergerakan itu menjadi agen Perikatan Nasional (PN) sebagaimana tuduhan yang dilontarkan sesetengah pihak.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh mengakui beliau banyak bertelagah dengan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sehingga label seperti itu dilemparkan kepadanya dan pergerakan Pemuda.
Bagaimanpun tegas beliau, perbezaan pendapat itu tidak mengubah kesetiaannya terhadap UMNO.
“(Saya) banyak bertelagah dengan (parti) jiran sampai ada kata Dr Akmal ini ejen PN dan bawa suara PN. Pemuda UMNO bukan ejen PN. Pemuda UMNO terlalu sayang parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Akmal menggesa UMNO untuk tidak hanya menjadi parti pelengkap, sebaliknya mahu parti itu menjadi dominan dalam landskap politik negara.
Katanya, keadaan itu boleh dicapai sekiranya UMNO memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU16).
“Kena tingkatkan daripada 26 kerusi Parlimen kepada dua pertiga. Ini baru level UMNO,” ujarnya.
Akmal turut menyuarakan kesediaan Pemuda UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi selepas mencapai kemenangan di DUN Nenggiri.
PRK DUN Nenggiri baru-baru ini menyaksikan Barisan Nasional yang diwakili calon dari parti UMNO beroleh kemenangan besar menerusi calonnya, Mohd Azmawi Fikri.
Mohd Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi iaitu 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi. – MalaysiaGazette