Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-72 dengan diringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di Hotel Mandarian Oriental Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 23 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Kertas cadangan berhubung perkahwinan pelarian warga asing di negara ini didaftarkan antara yang dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke -72 di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia antara kertas cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita kemukakan cadangan mengenai pendaftaran perkahwinan pelarian warga asing seperti Rohingya, Syria dan Palestin yang mana kita dimaklumkan terdapat lebih 190,0000 pelarian berada di negara ini.

“Jadi isu itu timbul apabila pelarian ini berkahwin tetapi mereka tanpa mempunyai dokumen seterusnya ada anak dan terus menetap di negara ini.

“Ini menimbulkan masalah sosial atas sebab itu kita rasa ada keperluan untuk pastikan perkahwinan mereka didaftarkan di Malaysia.

“Namun apabila perkahwinan ini didaftarkan, pada masa sama mereka ini juga layak terima sesuatu keistimewaan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Mohd Na’im, selepas ulasan dan perkembangan cadangan itu dikemukakan, MKI bersetuju untuk menangguhkan serta membawa cadangan tersebut ke mesyuarat akan datang.

“Hasil perbincangan tadi, ia akan ditangguhkan pada mesyuarat yang seterusnya pada November atau Disember nanti. Ini kerana terdapat isu sensitif melibatkan konteks keselamatan. Kertas cadangan itu perlu diharmonikan, lihat pada aspek keselamatan untuk dibawa semula nanti.

“Pelbagai proses perlu dilalui, sebarang pendapat akan dikemukakan di peringkat MKI kemudian dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenan. Selepas itu, barulah ia akan mendapat kuasa tertinggi berkaitan dengan isu agama Islam itu sendiri,” ujarnya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bergambar bersama ahli-ahli Mesyuarat ketika mengahadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-72 dengan diringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Hotel Mandarian Oriental Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 23 OGOS 2024.

Mengulas mengenai pengurniaan watikah kepada enam ahli baharu MKI yang mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebelum Mesyuarat MKI Kali ke-72 bermula hari ini, Mohd Na’im menjunjung kasih dengan perkenan majlis Raja-Raja dengan pelantikan berkenaan seterusnya ia dapat membantu MKI pada masa akan datang.

“Ahli yang dilantik ini mempunyai kepakaran masing-masing sebagai contoh, Tan Sri Azman Mokhtar memiliki kepakaran dalam bidang ekonomi manakla Datuk Salehuddin Saidin pula seorang pakar undang-undang.

“Jadi dengan gabungan kepakaran pelbagai ini, saya yakin ia dapat membantu Sultan Nazrin sebagai Pengerui MKI serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Pengerusi untuk memperkukuhkan peranan MKI,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, kesemua pelantikan ahli MKI itu telah berkuat kuasa serta merta untuk tempoh dua tahun sahaja.

Selain Azman yang juga Pengerusi Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan Salehuddin dari Anggota Majlis Agama Islam Selangor – Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar juga dilantik ahli MKI.

Selain turut menerima watikah berkenaan ialah Pengarah Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya, Datuk Dr Azizan Baharuddin, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford, Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti. – MalaysiaGazette