Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU diantara Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Mohd Ekhwan Toriman (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan MAG, Encik Mohd Nadziruddin Mohd Basri (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu syarikat induk bagi penerbangan nasional Malaysia Airlines menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menggalakkan pertukaran kepakaran dan mengukuhkan perkhidmatan.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, MoU yang melibatkan Kumpulan UKM Holdings ini dijangka akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, antaranya potongan harga bagi pembelian tiket penerbangan dan penawaran kepakaran dalaman UKM kepada
pihak MAG.

“UKM amat terbuka untuk memberikan perkhidmatan pakar-pakar yang ada dalam pelbagai bidang untuk memacu perancangan kejayaan MAG di masa hadapan.

“Usaha baik ini perlu diteruskan agar jalinan strategik ini terus berkekalan dan tidak hanya terhad kepada dunia penerbangan, malah pelbagai cabang ilmu boleh diterokai dalam pelbagai keadaan bidang,” katanya.

Hasil MoU ini juga akan membolehkan kakitangan dan komuniti pelajar UKM untuk menikmati diskaun bagi produk Malaysia Airlines termasuk kadar korporat dan pakej percutian MHholidays, MHexplorer, MHsports, dan sebagainya.

Kerjasama ini juga meliputi skop peluang dan ruang potensi perniagaan dan pembangunan pendidikan secara holistik, latihan kemahiran insaniah, penerbitan bersama, penganjuran program bersama, penempatan pelajar bagi menjalani latihan industri dan penempatan graduan dalam industri penerbangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan MAG, Mohd Nadziruddin Mohd Basri berkata, sebanyak sembilan inisiatif kerjasama akan dimeterai, merangkumi aspek kelestarian perniagaan, peningkatan kebolehpasaran graduan ke peringkat antarabangsa, inisiatif hijau dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta usaha menjadikan UKM dan MAG sebagai pusat penyelidikan inovasi bertaraf dunia.

“Kami yakin bahawa kerjasama antara MAG dan UKM ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk kedua-dua pihak dan membawa impak yang berpanjangan dalam pembangunan industri penerbangan serta bidang akademik.

“Ini adalah satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk membina masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang, serta memartabatkan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang penerbangan di peringkat global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast