Gelagat penyokong pasukan Selangor FC bersorak pada perlawanan akhir Piala FA ketika di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku selepas tamat perlawanan akhir Piala FA 2024 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) malam tadi.

Perlawanan menyaksikan Boys of Straits mempertahankan kejuaraanya di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan bergaya iaitu 6-1 ke atas Selangor FC.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, sebelum dan selepas perlawanan tamat, para penyokong kedua-dua pasukan itu menunjukkan kerjasama kepada petugas pasukan keselamatan dan tiada sebarang insiden tidak diingini.

“Polis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong kedua-dua pasukan. Terima kasih di atas kerjasama memastikan suasana aman dan damai tanpa sebarang provokasi atau kecoh sebelum, semasa dan selepas perlawanan akhir Piala FA berlangsung malam ini(Sabtu),” katanya ketika dihubungi tengah malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu, Selangor FC dilanyak JDT FC dengan jaringan 6-1 dan menjulang Piala FA buat tahun ketuga berturut-turut serta keempat dalam sejarah kelab tersebut.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 2,488 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam tugas di lapangan dalam dan luar stadium semasa perlawanan akhir Piala FA 2024 membabitkan kedua-dua pasukan tersebut.

Sepanjang perlawanan berlangsung, polis telah berjaya memastikan kelancaran lalu lintas dan mengelakkan sebarang kekecohan.- MalaysiaGazette