Misi anggota bomba dan APM mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah jerlus diteruskan pada hari kedua di Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berpandangan Kuala Lumpur (KL) wajar dipindahkan ke lokasi baharu yang bukan lembah serta jauh daripada ancaman banjir dan tanah jerlus.

Secara sinikal, beliau mahu nama KL juga wajar ditukar kepada tanpa `Tanpa Lumpur’ (TL).

Menurut beliau, langkah memindahkan ibu kota itu juga sudah dilakukan Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan kerana ancaman gempa bumi.

“Tidak lama lagi kita ditinggalkan jauh oleh Indonesia. Mereka ada ibu kota baru Nusantara. Jakarta pindah ke Kalimantan yang jauh dari ancaman gempa bumi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Puad turut mempersoalkan ketidakhadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa untuk meninjau kawasan bencana tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India.

Datuk Dr. Mohamad Puad Zarkashi .

Menurut beliau, Dr. Zaliha sepatutnya menjadi individu pertama turun ke lokasi kejadian memandangkan Jalan Masjid India adalah lokasi pelancongan, manakala mangsa dalam kes itu juga ialah pelancong.

“Ia bukan sahaja menjejaskan imej KL (Kuala Lumpur) di pesada antarabangsa tetapi ia menjejaskan perniagaan di situ. Patut Menteri Wilayah orang pertama datang,” tulisnya.

Bagaimanapun difahamkan, Dr Zaliha sudah meninjau kawasan terbabit dan telah memberi kenyataan sebelum ini.

Dalam masa sama, Puad turut mempersoalkan langkah penyelesaian yang telah diambil bagi mengatasi masalah itu termasuk kejadian banjir kilat seperti yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini.

“Kuala Lumpur ibu kota Malaysia. Ia kawasan lembah. Kerap banjir seperti di World Trade Centre (WTC). Apa solution?

“Apakah ada pemeriksaan profesional berkala terhadap struktur tanah dan bangunan?” soalnya.

Memasuki hari ketiga hari ini, seorang wanita warga India yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di kawasan Masjid India di sini pada Jumaat lalu masih gagal ditemui sehingga kini.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, operasi pencarian kini ditumpukan di lima ruang kumbahan yang terdapat dalam lingkungan dua kilometer kawasan radius pencarian. – MalaysiaGazette