Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang memberi keterangan sebagai saksi utama dalam kes saman beliau terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan begitu fokus dalam prosiding hari ini.

Walaupun ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman dengan soalan sama secara berterusan adakalanya ‘berpusing-pusing’ namun jawapan Dr Mahathir tetap konsisten.

Ada satu masa ketika soal balas, peguam itu menyatakan dirinya ‘pening’ kerana Dr Mahathir tetap tidak menjawab soalan dikemukakan.

Ada juga situasi hakim, Pesuruhjaya Tinggi, Gan Techiong juga cuba membetulkan soalan dalam bahasa mudah difahami untuk bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menjawab.

Ketika ditanya peguam adakah Ahmad Zahid ada menyebut namanya secara terbuka, Dr mahathir berkata, ahli politik bijak berkata-kata.

Dr Mahathir mengakui namanya tidak disebut terang-terangan sebaliknya Ahmad Zahid memberi gambaran individu yang dimaksudkan olehnya adalah seorang ahli politik yang telah memegang kuasa selama 22 tahun pada mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya sekitar 2017.

“Nama Mahathir tidak sebut secara khusus tapi dia sebut 22 tahun berkuasa. Itu rujuk kepada saya. Nama tidak sebut tapi kenyataan dituju kepada saya.

“Zahid tidak sebut nama saya secara terbuka dengan sengaja, dia adalah seorang ahli politik, dia pandai sembunyi. Ini juga adalah cara paling selamat untuk seseorang supaya tidak kena saman kelak tapi semua orang tahu dengan jelas siapakah dimaksudkan oleh beliau,” katanya.

Ketika terus diasak adakah Ahmad Zahid menyebut namanya terang-terangan dalam kenyataan fitnah itu, Dr Mahathir berkata, ahli politik sebenarnya pandai dan bijak kerana setiap kali berpeluang boleh berbohong.

“Orang politik ini kalau ada peluang untuk berbohong, mereka berbohong,” tegasnya.

Dr Mahathir juga mendakwa Ahmad Zahid sengaja menyebut Kutty untuk menunjukkan beliau bukan Melayu sebaliknya berpura-pura menjadi Melayu untuk kuasa politik.

Sebaliknya dakwanya, beliau adalah seorang Melayu Islam yang mendaftar dengan nama Mahathir Mohamad dan bukan Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty seperti dakwaan Ahmad Zahid.

Prosiding akan bersambung pagi esok.

Ketika ini, Dr Mahathir sedang menyaman Timbalan Perdana Menteri kerana atas dakwaan Ahmad Zahid telah memfitnahnya dengan mempersoalkan asal usulnya 2017. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nama saya Mahathir Mohamad bukan Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty – Tun M

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast