KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mula memberikan keterangan sebagai saksi utama dalam kes saman beliau terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pagi ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman ini difailkan oleh Dr Mahathir pada 20 Julai tahun lepas atas dakwaan Ahmad Zahid telah memfitnahnya kerana mempersoalkan asal usul bekas Ahli Parlimen Langkawi itu pada 2017.
Dr Mahathir, 99, tiba tepat 9.40 pagi dengan berpakaian kelabu, disambut beberapa pemimpin dan penyokong serta media yang sudah menanti.
Beliau juga sempat berjabat tangan, senyum dan bercakap dengan beberapa orang sebelum diiringi masuk ke lobi mahkamah, walaupun pergerakan beliau kelihatan perlahan namun beliau kelihatan sihat.
Manakala Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri tiba 20 minit lebih awal sebelum naik ke mahkamah bicara hari ini.
Mahkamah telah menangguhkan sebanyak dua kali perbicaraan kes saman memandangkan Dr Mahathir tidak sihat dan sedang menerima rawatan di IJN.
Terbaharu pada Julai lepas, Dr Mahathir sepatutnya hadir memberikan keterangan namun tidak dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) dan telah diberikan sijil sakit oleh pusat kardiologi itu.
Ketika itu, Dr Mahathir dimaklumkan tidak sihat selepas pulang dari London kerana mengalami masalah pernafasan sehingga terpaksa dimasukkan ke IJN pada hari seterusnya.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong kemudian melapangkan tarikh perbicaraan pada hari ini dan menangguhkan perbicaraan kepada 26 dan 27 Ogos dan 29 serta 30 Oktober ini. -MalaysiaGazette