Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Malaysia telah membuat permohonan bagi penambahan kuota haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menurutnya, permohonan itu telah disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah yang mengadakan lawatan ke negara ini.

Lawatan itu bukan sahaja simbolik kepada hubungan akrab negara Malaysia dan Arab Saudi, tetapi juga memperkukuhkan lagi diplomatik terutamanya pengurusan haji dan umrah bagi  Malaysia.

Mohd Na’im berkata, selain permohonan berkenaan, mesyuarat bersama di Kompleks Islam Putrajaya semalam turut membincangkan usaha sama meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan di Tanah Suci terutama di Masya’ir.

“Usaha ini pastinya dapat membantu pengurusan pihak Lembaga Tabung Haji yang kini telah mula melaksanakan persediaan awal bagi musim haji 1446H,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dr. Tawfig Al-Rabiah dijadualkan berada di Malaysia sehingga 28 Ogos ini dan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Pada masa sama, beliau juga bertemu beberapa kementerian juga organisasi tertentu antaranya Institute of Strategic & International Studies (ISIS) dan Lembaga Tabung Haji.

Selain itu, Dr. Tawfig Al-Rabiah bersama wakil delegasi Kerajaan Arab Saudi dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia turut menganjurkan bengkel khusus bagi membicarakan langkah-langkah strategik untuk menarik minat lebih ramai jemaah umrah dari Malaysia dan meluaskan industri pelancongan di Arab Saudi. – MalaysiaGazette