Seorang penolong penguat kuasa direman untuk siasatan SPRM.

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan di Kuching direman kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel yang beroperasi di Sibu.

Perintah reman yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama enam hari sehingga 2 September ini, dikeluarkan Majistret Mason Jaro di Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sarawak sekitar jam 3.25 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

“Tangkapan terhadap pembantu penguat kuasa ini adalah susulan Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu.

“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berkenaan daripada sindiket terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette